Tuesday, July 12, 2005

Kata2 hikmat

satu lagi karya aba mumby
Kata-kata hikmat

Jangan berputus asa dalam mencari Ilmu bila Ilmu yang dicari itu tidak mahu masuk kedalam sanubari, tapi bersabarlah,kerana air yang lembut itu apabila menitis keatas sebiji batu yang besar secara berterusan, batu itu pasti akan mempunyai lekuk

Sesungguhnya persahabatan itu lebih unggul dari percintaan, tanpa persahabatan percintaan akan berakhir tetapi tanpa percintaan, persahabatan boleh kekal. Oleh itu hargailah persahabatan yang terjalin.

Hidup kita ibarat subjek matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi. amalan yang baik hendaklah ditambahkan, segala perbuatan yang buruk dan dimurkai oleh Allah hendaklah ditolak atau dijauhkan, pahala amalan hendaklah digandakan dan masa yang ada hendaklah dibahagikan dengan sempurna agar kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang rugi hidup di dunia dan akhirat.

Berusahalah dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan semata-mata, kerana semakin tinggi keikhlasan di dalam diri, semakin tinggilah balasan baik yang akan diperolehi dalam keadaan sedar atau tidak

Tidak ada orang yang berjaya dalan keadaan dirinya tak pernah sedia untuk berjaya kalau dia "berjaya" itu bukan kejayaan tapi kebetulan.

Orang yang ingin hidup bahagia, perlu menjaga empat perkara:
1. teguh menjaga kehormatan
2. redha menerima apa yang sedikit
3. berbuat kebaikan setiap hari
4. memelihara lidah dari perkataan keji

Marah menyebabkan separuh keintelektualan hilang berganti dengan tindakan-tindakan meluru,bodoh dan tidak munasabah.

Hargailah dan pertinggikanlah peribadimu. Orang-orang yang bercita-cita harus mampu menaksir harga peribadinya secermat-cermatnya. Anda harus tahu akan harga diri dan harus selalu cuba untuk memepertinggikan peribadimu itu.

Jadilah bunga mawar yang indah berpagarkan duri.Jangan biarkan dirimu menjadi sebarangan bunga yang tetap juga indah tetapi,sayang tidak berduri. Apabila tiada duri, tiada lagi benteng yang boleh melindungi keindahan si bunga daripada sewenang-wenangnya didekati sang kumbang. Lantas, tercemarlah keindahan dan murahlah nilainya. Duri mawar itulah ditasybihkan dengan perbatasan aurat, akhlak dan al-haya'. Dengan pagaran duri itu, kilauan warnanya semakin memancar indah dan harum aromanya menyelinap di segenap naluri yang mengundang kekaguman di hati sang kumbang hinggakan sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.

Sunday, July 10, 2005

Kertas Kerja Untuk Kem Remaja Newcastle Upon Tyne

Satu lagi hasil kerja aba mumby..

KERTAS KERJA KEM REMAJA
NEWCASTLE UPON TYNE


Mukaddimah
Islam adalah agama lengkap dan sempurna .Peraturannya mengcakupi seluruh kehidupan manusia, tidak ada suatu aspek pun dari kehidupan manusia yang tersisih dari peraturan Islam. Peraturan kehidupan yang dibawa oleh Islam adalah sesuai dengan tabie kejadian manusia sebagai makhluk yang dikurniakan akal,ilmu dan nilai budi oleh Allah SWT.Begitu juga dengan soal pergaulan antara lelaki dan perempuan, Islam menetapkan peraturan tertentu untuk menjaga maruah dan harga diri manusia. Peraturan ini bertujuan untuk mengawal diri dari perlakuan buruk dan gejala keruntuhan moral.
Pergaulan antara lelaki dan perempuan merujuk kepada percampuran antara lelaki atau perempuan mahram atau ajnabi di sesuatu tempat. Di situ mereka bertemu,bercakap,bertegur sapa,bertentang mata dan sebagainya.Perkataan mahram merujuk kepada lelaki atau perempuan yang mempunyai ikatan persaudaraan terdekat seperti adik beradik,ibubapa,bapa saudara dan sebagainya. Manakala perkataan ajanabi pula merujuk kepada lelaki atau perempuan yang halal berkahwin seperti sepupu ke atas atau orang yang tidak ada ikatan persaudaraan dengannya.


Batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan

1.Tidak bersentuhan antara perempuan dan lelaki ajnabi.Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Lebih baik dicucuk akan jarum besi yang tajam daripada seseorang itu menyentuh kulit perempuan yang bukan muhrimnya.” (Riwayat at-Tabrani).

2.Tidak melihat perempuan/lelaki secara mengamati dan menaikkan syahwat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Demi Allah telah dicatatkan ke atas anak Adam itu bahagian daripada zina dan lacur,tidak dapat tidak tentu ia terkena salah satu daripadanya. Seperti mata, berzina kerana melihat perempuan bukan muhrim. Telinga itu berzina kerana mendengar perkataan lucah.”Riwayat Bukhari dan Muslim. Maksud zina di sini ialah zina kecil iaitu melakukan dosa.

3.Memelihara aurat dan kehormatan.Aurat lelaki adalah antara lutut dan pusat manakala aurat perempuan adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tangan. Semasa bergaul atau berada di tempat awam kita diwajibkan menutup aurat supaya kehormatan kita terpelihara daripada perkara yang tidak baik. Agar lebih difahami berkaitan aurat bagi wanita cuba teliti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Aisyah r.a. bahwa ketika Asma' binti Abu Bakar r.a. bertemu dengan Rasulullah saw, ketika itu Asma' sedang mengenakan pakaian nipis, lalu Rasulullah saw. memalingkan muka seraya bersabda: "Wahai Asma'! Sesungguhnya, jika seorang wanita sudah sampai masa haid, maka tidak layak lagi bagi dirinya menampakkannya, kecuali ini ..." (beliau mengisyaratkan pada muka dan tangannya).

4.Tidak mengeluarkan kata-kata keji,lucah atau menunjukkan tingkahlaku yang mendorong kepada melakukan maksiat. Alangkah baiknya jika kita dapat mengikuti nasihat Luqman Al-Hakim :
“Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk, kotor atau kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain”.

5.Tidak berdua-duaan terutama di tempat sunyi dan gelap. Sabda Rasulullah SAW bermaksud “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia berkhalwat dengan perempuan.” (Riwayat Tabrani). Jika ada sesuatu perkara perkara penting yang perlu dibincang dengan seseorang yang berlainan jantina, maka perlulah ditemani oleh mahramnya atau orang yang boleh dipercayai. Tidak diharuskan duduk berdua-duaan .Sabda Rasulullah lagi bermaksud : “Tidaklah seorang lelaki itu bersendirian dengan wanita melainkan ada orang yang ketiga iaitu syaitan”.


6.Tidak bercampur gaul dalam keadaan yang terdedah kepada melakukan maksiat seperti tinggal serumah. Percampuran dalam keadaan seperti itu akan mengundang perbuatan zina yang terkutuk. Pernah berlaku di U.K ni seorang pelajar membuka pintu bilik tiba-tiba ternampak temannya sedang melakukan perbuatan terkutuk dengan kawan serumah.Bila lelaki dan perempuan berada dalam keadaan mencurigakan maka syaitan akan mendorongnya melakukan perbuatan zina. Betul … kadang-kadang tak ada apa yang buruk berlaku, tapi ada ketika kita tidak dapat mengawal diri daripada melakukan perbuatan zina atau sekurang-kurangnya melakukan muqaddimah zina. Bagaimana boleh seorang wanita beriman menyerahkan kehormatannya kepada lelaki yang tidak bertanggungjawab dan dengan cara yang tidak halal pula.Niat datang ke luar negara adalah untuk menuntut ilmu bagi membangunkan agama,bangsa dan negara …tapi pulang ke tanahair dengan gelaran wanita ditebuk tupai.


Keadaan-keadaan yang diharuskan dalam pergaulan

Terdapat beberapa keadaan di mana kita diharuskan bergaul antara lelaki dan perempuan. Pergaulan ditempat-tempat berikut diharuskan kerana ada maslahat (kepentingan) atau hajat yang diharuskan oleh syarak Begitu juga diharuskan bergaul kerana darurat seperti untuk menyelamatkan nyawa atau maruah wanita/lelaki Islam. Antara tempat yang diharuskan kita bergaul ialah seperti di sekolah,di hospital, di mahkamah ,di tempat makan, di perpustakaan, di tempat rehlah dan sebagainya.
Pergaulan di tempat-tempat tersebut diharuskan dengan syarat berpegang dengan prinsip pergaulan dalam Islam seperti cara berpakaian, percakapan, pandangan mata dan sebagainya. Pergaulan ini boleh bertukar menjadi haram sekiranya tidak memelihara aurat, mengendap orang dan mencaci maki orang lain. Kita juga dilarang berdua-duaan kerana boleh mendatangkan kecurigaan yang serius dan mengundang perbuatan yang tidak bermoral.
Harus juga seseorang perempuan melayan tetamu yang berlainan jantina dengan kehadiran suami atau mahramnya.Perkara lain yang diharuskan seperti mengerjakan solat jemaah di masjid, mengejakan solat dua hari raya walau pun di tempat lapang,menghadiri kelas-kelas pengajian,berjihad dan merawat orang sakit.
Pada zaman Rasulullah SAW semasa solat jemaah tidak ada tabir atau dinding yang menghalang antara lelaki dan perempuan. Para jemaah perempuan akan berada di belakang jemaah lelaki. Saf yang paling afdhal bagi mereka ialah saf yang paling terkebelakang sekali. Hal ini kerana saf belakang lebih terpelihara dari kemungkinan melihat aurat lelaki.
Pada zaman Rasulullah SAW kaum wanita menghadiri kelas-kelas pengajian untuk mendapatkan ilmu bersama kaum lelaki. Mereka biasa bertanya kepada Rasulullah persoalan-persoalan yang berkaitan dengan hal ehwal wanita. Saidatina Aisyah r.a. pernah memuji wanita ansar kerana tidak malu untuk bertanya Rasulullah berkaitan masalah-masalah khusus bagi kaum wanita seperti tentang haid,nifas,jenabah, istihadhah dan sebagainya. Menurut satu riwayat lain bahawa Ummu Athiyah berkata :”Rasulullah SAW menyuruh kami mengajak keluar kaum wanita pada hari raya aidil Fitri dan aidil Adha iaitu wanita-wanita muda, wanita-wanita yang sedang haid dan gadis-gadis pingitan. Adapun wanita-wanita yang sedang haid mereka tidak mengerjakan solat melainkan mendengar nasihat dan dakwah”.

Isu-isu pergaulan antara lelaki dan perempuan
1.Naik motor berdua-duaan.
2.Berbingcang pelajaran secara berdua-duaan di tempat sunyi.
3.Tinggal serumah tanpa ada kawalan dari penjaga
4.Mengusik perempuan / mengorat
5.Berjalan berdua-duaan dan berpegang tangan.
6.Terlalu kerap berjumpa tanpa ada sebab yang munasabah
7.Cinta remaja

Ancaman kepada umat Islam
Satu perkara yang menjadi ancaman kepada umat Islam dalam soal pergaulan ini ialah serangan budaya dan tamadun barat. Mereka membawa gaya hidup bebas yang tersisih dari petunjuk agama. Mereka seolah-seolah merasakan kehidupan di dunia ini tidak perlu kepada bimbingan agama. Mereka membawa cara hidup mereka dari aspek gaya berpakaian,cara pergaulan,sukan ,hiburan, pengurusan dan sebagainya ke dalam masyarakat Islam. Sukar untuk mengatakan segala-gala yang datang daripada barat tidak baik. Dalam sesuatu perkara itu sudah tentu ada yang baik dan ada yang buruknya. Tetapi adalah tidak wajar kita menerima segala yang datang dari barat itu seadanya. Malah sepatutnya kita membuat perubahan dan penyesuaian supaya sesuai dengan budaya dan agama kita.
Satu perkara yang dihadapi oleh pelajar-pelajar kita yang berada di luar negara ialah rasa rendah diri untuk melakukan aktiviti agama. Mereka merasa malu untuk melakukan solat di depan orang bukan Islam. Merasa bertudung dan berpakaian cara Islam itu ketinggalan dan menghalang kemajuan. Rasa rendah diri untuk mengaku diri sebagai orang Islam dan sebagainya. Perasaan seperti ini boleh menghalang kita daripada menunaikan tanggungjawab terhadap agama secara selesa. Hal ini akan membuatkan kita mudah tewas dengan dugaan yang dihadapi.Akhirnya jati diri agama semakin terhakis sedikit demi sedkit.
Cara mengatasi masalah pergaulan bebas
1.Sematkan dalam hati perasaan bangga perasaan bangga dengan agama, budaya, bangsa dan negara kita.
2.Belajar agama melalui internet, buku-buku atau bertanyakan orang yang lebih arif.
3.Jika terjebak dengan masalah sosial …….. kongsi masalah anda dengan orang yang boleh dipercayai.
4.Jika terjebak …….. fikirkan secara positif, buat keputusan untuk selamatkan maruah dan pegangan agama.
5.Elakkan dari pada tinggal serumah, berdua-duaan dengan rakan yang berlainan jantina.

Penutup
Antara tangungjawab penting kita sebagai orang Islam ialah memelihara maruah,agama,bangsa dan negara. Maruah penting bagi membina bangsa yang berdaulat yang berhasrat menyaingi tamadun barat yang sudah tempang. Sudah pasti kehidupan ini tidak boleh tersisih daripada agama kerana kita akan mengadap Allah SWT apabila kita meninggal dunia nanti. Kita juga wajar menghargai harapan ibubapa dan masyarakat Islam dengan mencipta kejayaaan dalam pelajaran dan memelihara tingkahlaku. Ingatlah kehidupan di dunia ibarat ladang, di sini kita berbuat kebajikan dan menabur bakti maka di akhirat nanti kita akan melihat hasilnya.

Tuesday, July 05, 2005


Ukhuwwah Islamiyah..kenangan sewaktu kami berada di Spain
Dari kanan : Syed Farid, Abdul Muhaimin, Adri. (Gambar diambil sewaktu kami berada di Islamic Centre of Granada)
Cukup seronok bila berjumpa dengan muslim kat Spain. Walaupun tak pernah kenal namun apabila berjumpa seolah-olah berjumpa dengan kenalan lama. Antum tentu pernah rasa perasaan nih.
Abdul Muhaimin ni utk pengetahuan pembaca sekalian ialah seorang "convert" dari Italy. Dulu dia beragama Kristian. Dia tahu bercakap dalam bahasa Arab dan ilmunya..masyaAllah..cukup hebat..segan gak la..ye la kite yang Islam sejak lahir pun tak punye ilmu sebanyak dia...silela muhasabah diri Posted by Picasa